Sunday, June 6, 2010

Kenyataan Ulama sedunia tentang serangan ke atas flotilla LL4G

Kenyataan barisan ulama seluruh dunia mengenai serangan zionis ke atas kapal yang membawa misi kemanusiaan ke GAZA

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah, Penolong orang-orang yang beriman, Yang menurunkan kehinaan ke atas orang-orang yang sombong, Yang menundukkan orang-orang yang angkuh dan ganas. Selawat Allah dan barakah-Nya ke atas Imam pembawa hidayah dan islah, Saidina Muhammad, juga ke atas ahli keluarganya serta semua sahabat-sahabatnya.
Sesungguhnya barisan ulama yang menurunkan tandatangan pada kenyataan ini sangat terkejut dengan apa yang dilakukan oleh komando-komando zionis terhadap sukarelawan yang datang dari pelbagai negara di dunia untuk memecahkan kepungan yang tidak berperi kemanusiaan ke atas Semenanjung Gaza.

Para ulama beserta majoriti umat mengikuti dengan penuh rasa duka dan keciwa jenayah yang sungguh kejam dilakukan zionis yang diketuai oleh askar penjajah yang telah menyebabkan puluhan nyawa yang tidak berdosa terkorban dan puluhan yang lain tercedera.

Barisan ulama juga mengikuti dengan penuh kagum dan hormat di atas keberanian, keikhlasan serta kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua peserta konvoi serta kesediaan mereka untuk menghadapi sebarang tindakan jahat pihak zionis.

Tidak lupa setinggi-tinggi ucapan penghargaan ke atas para syuhada dan mereka yang cedera, yang darah mereka mengalir demi mempertahankan orang-orang yang dizalimi dan terkepung di Gaza. Juga kepada tawanan yang terus bertekad untuk membantu orang yang tertindas sekalipun diugut dengan berbagai-bagai ancaman oleh pihak zionis.

Justeru, barisan ulama menyeru seluruh umat Arab, Islam dan dunia seluruhnya agar segera bertindak untuk membebaskan tawanan secepat mungkin. Dengan ini barisan ulama mengeluarkan kenyataan yang ditujukan kepada seluruh umat sama ada rakyat atau kerajaan agar memainkan peranan masing-masing demi keselamatan para tawanan yang berada di bawah kepungan zionis, melindungi hak saudara kita di Palestin, menolong para mujahidin di bumi yang diberkati.

Serangan jahat yang dilakukan oleh zionis yang menyebabkan berlaku kematian, luka parah dan tertawannya peserta konvoi yang tidak berdosa dan tidak bersenjata yang berada di dalam kapal kebebasan yang menggabungkan peserta yang terdiri dari lebih daripada 40 buah negara di waktu fajar hari Isnin 18 Jamadil-Akhir 1431 bersamaan 31 May 2010 memberi gambaran bahawa zionis berada dalam keadaan selamat daripada tentangan negara Islam, kutukan Amerika dan bantahan antara bangsa terhadap keganasan dan kekejaman mereka.

Maka kami menyeru semua ilmuan umat, pertubuhan-pertubuh an, institusi-institusi , rakyat yang beragama Islam yang berbangsa Arab dan bukan Arab, bangsa-bangsa yang merdeka di seluruh dunia agar bangkit dan bergerak menentang kumpulan zionis yang jahat dan keji ini.

Sesungguhnya dengan ini kami ingin menegaskan perkara-perkara berikut:

Pertama: Sesungguhnya telah menjadi suatu hakikat, suatu realiti yang terang nyata bahawa Bani Israel adalah golongan yang suka menumpahkan darah, membunuh manusia yang tidak berdosa sebagaimana dinyatakan di dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya) , sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu kamu dustakan dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?” (Al-Baqarah: 87)

Mereka tidak pernah bertanggungjawab dan berpegang kepada janji dengan orang yang beriman. Mereka tidak berintima’ kepada agama yang dibawa oleh Nabi Allah Musa a.s. sama ada secara dekat atau jauh. Dan Nabi Allah Musa tiada kaitan dengan mereka. Mereka adalah golongan terbuang, lanun-lanun di zaman moden dan tali barut zionis antara bangsa. Semua agama tiada kena mengena dengan mereka termasuk agama Nabi Musa a.s.

Kedua: Kami menyeru kerajan Arab dan Islam agar menukar sikap mereka yang negatif sehingga menampakkan lebih dekat kepada bekerjasama dengan zionis dalam serangan mereka yang berulang-ulang. Kami menyeru agar segera diadakan persidangan tergempar yang menggariskan langkah-langkah yang wajib diambil dan dilaksanakan, sama ada dari segi politik, ekonomi, media dan ketenteraan demi menyekat kebiadapan musuh zionis dari terus sombong dengan tindakan ganasnya.

Perkara pertama yang wajib dilakukan ialah hentikan usaha rundingan damai sepenuhnya. Hentikan sebarang bentuk rundingan baik secara terang atau senyap dengan mereka. Gunakan segala kekuatan dan keupayaan yang ada pada umat Arab dan Islam, suburkan hubungan dengan semua negara di dunia bagi mewujudkan tekanan yang mengesankan ke atas rejim zionis yang telah merampas Palestin dengan cara haram dan tidak sah.

Langkah ini wajib diambil demi membebaskan al-Aqsa dan Palestin, menyokong perjuangan yang diterajui oleh rakyat Palestin baik secara material, moral dan media, mengukuhkan kekuatan mereka, memudahkan hubungan rasmi dan sya’bi dengan mereka. Kami juga menyeru kerajaan Mesir dan kerajaan-kerajaan Arab yang lain semuanya agar membuka sempadan Rafah dan meruntuhkan tembok kepungan ini.

Mengapa kita harus menghormati perjanjian dan undang-undang antara-bangsa dengan Zionis sedangkan mereka tidak pernah mengambil peduli terhadap sebarang nilai akhlak, moral, uruf dan perjanjian antara-bangsa?

Ketiga: Kami menyeru rakyat Palestin agar segera berdamai dan bersatu. Lupakan perbezaan pandangan politik kepartian. Bersatu di atas landasan perjuangan menentang seteru yang sebenar.

Kami menyeru pihak berkuasa Palestin agar berhenti sepenuhnya dari memburu mujahidin. Isytiharkan dengan segera pemberhentian rundingan damai secara total dengan musuh. Tiada lagi sebarang usaha ke arahnya baik secara langsung atau tidak langsung. Batalkan sebarang pertemuan dengan pemimpin rejim penjajah zionis. Sesungguhnya pertemuan itu tidak sejajar dengan perinsip akhlak dan undang-undang kerana mereka telah melakukan kezaliman demi kezaliman.

Keempat: Kami menyanjung tinggi dan memohon keberkatan di atas usaha murni yang dilakukan oleh rakyat Turki, pertubuhan-pertubuhan serta kerajaannya. Kami mengakui bahawa pengorbanan paling besar adalah datangnya daripada rakyat Turki. Kami menyeru umat Islam dan semua umat yang merdeka di seluruh dunia agar menghargai dan menjejaki peranan kemanusiaan Turki yang berani.

Kelima: Kami menyeru seluruh pertubuhan dan institusi hak asasi manusia dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara Arab, negara Islam dan semua negara di dunia supaya bergerak dan menggerakkan seluruh rakyat dengan kadar segera untuk menentang jenayah zionis di semua peringkat dan semua lapangan, dengan menggunakan undang-undang bagi mengenakan tindakan yang tegas ke atas penjenayah perang yang telah menyerang secara terang-terangan.

Mereka mesti didakwa di hadapan semua mahkamah di Eropah dan di peringkat antara-bangsa. Semua pemimpin mereka mesti diheret dan dibicarakan. Tiada seorang pun dari kalangan mereka yang boleh dilepaskan atau diberi keampunan.

Keenam: Kami menyeru media massa Arab dan Islam agar memberi sepenuh keutamaan dalam mendedahkan kejahatan rejim Zionis yang merampas bumi Palestin serta keganasan-keganasan yang mereka lakukan. Dedahkan segala usaha mereka memalsukan dokumen rasmi kedutaan beberapa buah negara.

Dedahkan identiti mereka dan usir mereka dari semua negara, dedahkan keadaan genting yang dialami oleh penduduk Gaza dan semua kawasan yang terletak di bawah jajahan mereka di Palestin dan akhir sekali penyembelihan konvoi keamanan Mavi Marmara.

Ketujuh: Berhadapan dengan ancaman musuh zionis ini, semua bangsa yang merdeka di seluruh dunia, bukan hanya penduduk Gaza sahaja, wajib menghidupkan ruh keimanan dan membangkitkan semangat juang menentang kezaliman serta menolak sebarang usaha rundingan damai dengan zionis. Jihad adalah satu-satunya jalan untuk menggerunkan penjajah itu dan membebaskan masjid al-Aqsa dan Palestin.

Oleh kerana ulama dan para ilmuan merupakan minda yang sedar di kalangan ummah, hati yang sentiasa berdenyut dengan keinsafan, lidah yang mampu menuturkan kebenaran, melakarkan cita-cita dan harapan; mereka adalah ibarat kepala kepada badan ummah, jantung yang menentukan kesihatan perjalanannya, maka kami menyeru para ulama dan ilmuan agar memainkan peranan memegang teraju utama dalam menyatakan kebenaran dan mendedahkan hakikat zionis yang sebenarnya sejak dahulu hingga sekarang.

Ulama dan para ilmuan mesti memainkan peranan menjelaskan kepada ummah apa yang mereka perlu sediakan untuk menghadapi zionis durjana ini, membebaskan tawanan-tawanan dan masjid al-Aqsa, membela mereka yang terluka, cedera dan terbunuh serta mengembalikan kemuliaan ummah seluruhnya.

Allahu Akbar! Kemenangan untuk Islam dan muslimin!

Ditandatangani oleh:

Dr. Sofwat Hijazi – Mesir, Dr. Muhammad Musa asy-Syarif – Saudi, Dr. Solah Sultan – Mesir, Syeikh Salim asy-Syeikhi – Libya, Syeikh Muhammad al-Amin – Bahrain, Syeikh Majd Makki – Syria, Syeikh Akram Kassab – Mesir, Dr. Hamdy Arsalan – Turki, Dr. Khalid Hanafy – Mesir, Dr. Muwaffaq Kadasah – Saudi, Dr. Sa’eid al-Ghamidy – Saudi, Dr. Abdul Ghani at-Tamimy – Palestin, al-Qadhi Muhammad Tais al-Jamily – Qatar, Dr. Saleh Sowwab – Yaman, Syeikh Hasan Qatarji – Lubnan, Dr. Muhyiddin Ghazi – India, Syeikh Muhammad al-Hasan bin ad-Dadu – Mauritania, Syeikh Wasfy ‘Asyur Abu Zaid – Mesir, Dr. Ahmad Abu Bakar Jumi – Nigeria, Dr. Abdul Hayyi Yusuf – Sudan, Dr. Abdul Wahhab ad-Dailamy – Yaman, Dr. Umar Abdul Aziz – Mesir, Syeikh Khalid Saifullah ar-Rahmany – India, Syeikh Amin al-Uthmany – India, Dr. Muhammad Abdul Maqsud – Mesir, Dr. Abdul Sattar Fathullah Sa’eid – Mesir, Dr. Yahya Ismail – Mesir, Dr. Ali as-Solaby – Libya, Dr. Ahmad ar-Risuni – Maghribi, dan ramai lagi….

(sebenarnya terdapat 108 nama, rasa cukup dimasukkan sebahagian saja)

http://zaadut- taqwa.blogspot. com/

Sunday, May 16, 2010

Kenyataan PACE: Memperingati Ulangtahun Nakbah ke 62

Apabila Israel melancarkan serangan teramat biadap ke atas Gaza pada penghujung bulan Disember 2008 dan berakhir pada 23 Januari 2009, seluruh dunia amat terkejut dan bangkit membuat bantahan yang terbesar pernah disaksikan. Bantahan dan kemarahan ini tiba-tiba reda dan berakhir apabila Israel menghentikan operasi ‘Cast lead’nya di Gaza. Meskipun media masih memberi liputan tentang kemusnahan dan penderitaan rakyat Gaza terutama pendirian Mesir yang terus menutup sempadan dan menyekat rakyat Gaza yang tercedera menyeberang di sempadan Rafah untuk mendapat rawatan, namun tumpuan kepada isu ini dalam media antarabangsa hanya bertahan sekitar dua minggu sebelum ia dilupakan samasekali. Kini isu Gaza bahkan isu Palestin kembali kepada status qou iaitu satu konflik yang berpanjangan sejak 1948 tanpa menunjukkan sebarang petanda ia dapat diselesaikan dalam masa beberapa tahun bahkan beberapa dekad akan datang. Realiti inilah yang mungkin menjadikan tumpuan terhadap isu ini turun dan naik seiring dengan insiden serangan besar-besaran atau pencerobohan regim Israel ke atas mana-mana wilayah Palestin dari masa ke semasa.



Kebetulan bulan Mei ini genaplah ulangtahun peristiwa Nakbah yang ke 62. Peristiwa Nakbah atau ‘Malapetaka besar’ dalam Bahasa Arab secara rasminya diingati pada 15 Mei setiap tahun. Ia merujuk kepada pengistiharan Negara haram Israel pada 15 Mei atau disambut di Israel sebagai ‘Hari Kemerdekaan’ Israel setelah mereka memenangi peperangan ‘War of Independence’ (Peperangan bagi memperoleh kemerdekaan) ke atas wilayah Palestin yang mereka rampas dan kuasai dengan cara-cara penuh biadap dan kebinatangan. Apa yang berlaku, Negara Israel yang diistiharkan pada 15 Mei 1948 itu adalah kemuncak kepada penderitaan rakyat Palestin yang diusir dan terdedah kepada aksi-aksi terorisme, gerombolan bersenjata Yahudi yang di bekalkan oleh penjajah British.. Maka peristiwa Nakbah merujuk kepada pengusiran 800,000 rakyat Palestin dari rumah dan kampong halaman mereka lalu mencari perlindungan di wilayah sempadan Syria,. Lubnan, Tebing Barat, Jordan dan Semenanjung Gaza.



Kini enam puluh satu tahun peristiwa Nakbah berlalu, namun penderitaan yang ditanggung oleh 800,000 pelarian asal kini diwarisi pula oleh tidak kurang 5 juta anak-anak dan cucu-cucu mereka. Bererti, selama enam puluh tahun mereka masih menunggu dengan penuh harapan bila mereka dibenarkan pulang ke rumah-rumah mereka di Palestin. Setidak-tidaknya mereka mengharapkan waris mereka mendapat hak untuk pulang ke tanah air demi memenuhi hasrat mereka yang tidak kesampaian kerana ajal telah menjemput mereka. Jika pahlawan kemanusiaan dan hak asasi manusia terulung diraikan oleh seluruh masyarakat antarabangsa iaitu Nelson Mandela kerana sanggup menanti 30 tahun di dalam penjara untuk mengembalikan hak dan kebebasan bangsa kulit hitam Afrika Selatan yang terbelenggu akibat Sistem Apatheid, maka pejuang dan rakyat Palestin yang mendiami khemah-khemah pelarian sejak enam puluh tahun lalu lebih wajar untuk dinobatkan sebagai pahlawan hak asasi yang tidak pernah mengenal erti putus asa dan kecewa.



Kini yang menjadi masalah dari kemelut kemanusiaan ini adalah sikap dan pendirian masyarakat antarabangsa. Seluruh Negara bangsa mempunyai pandangan umum yang dibentuk hasil dari prapoganda regim zionis Israel terhadap isu ini. Yang pertama, Israel mempunyai hak untuk wujud dan keselamatan Israel dari jiran-jirannya dan sebarang usaha yang dilihat boleh mengancam keselamatan Israel, walau sekecil manapun tidak boleh dibenarkan. Kedua, rakyat Palestin yang tidak mengiktiraf Israel dan menentang pendudukan Israel dilihat sebagai musuh kepada proses damai dan ancaman kepada keamanan di timur tengah dalam konteks yang lebih luas. Ketiga Israel punya hak untuk melaksanakan program keselamatannya termasuklah melancarkan ‘pre-emptive’ strike ke atas mana-mana sasaran di timur tengah untuk menjamin keselamatannya.



Inilah cabaran terbesar yang perlu diatasi oleh masyarakat antarabangsa untuk mencabar pandangan umum yang amat berat sebelah dan memihak secara melulu kepada Israel. Kecelaruan berfikir ini digambarkan dengan baik sekali oleh Mahaguru ilmu Sejarah Barat yang bernama Arnold Toynbee di mana beliau mengatakan



“Benar dan salah di Palestin adalah sama sebagaimana di tempat-tempat lain. Masaalahnya, dunia memilih untuk mendengar pihak yang melakukan kezaliman (Israel) dan memilih untuk memekakkan telinga dari mendengar dari pihak mangsa (rakyat Palestin)”



Sesuai dengan pengamatan ini, adalah menjadi tanggungjawab masyarakat madani (civil society) untuk menilai isu ini secara objektif dan berdasarkan fakta. Isu ini tidak akan diselesaikan dengan menggunakan pendekatan memihak atau ‘sektarianism’ samada dari sudut keagamaan, kebangsaan atau politik kesukuan. Seluruh dunia harus keluar dari melihat isu ini dari perspektif ‘muslim’ lawan ‘yahudi’ atau perebutan rakyat Palestin dan rakyat Israel ke atas satu wilayah di antara Laut Mediterranean dan Sungai Jordan, atau perebutan ke atas Baitul Maqdis yang menempatkan Haram al-Sharif dan Masjid al-Aqsa bagi muslim dan Jerusalem dan Temple Mount bagi Yahudi.



Ia harus dilihat dari sudut undang-undang antarabangsa sebagaimana yang termaktub dalam piagam bangsa-bangsa Bersatu 1945, hak asasi sebagaimana yang dipertahankan oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948 dan Konvensyen Geneva ke IV, 1949. Jika diteliti tingkah-laku regim zionis semenjak ia berdiri sebagai sebuah entiti bernama Israel, maka jelas siapa yang melakukan pelanggaran undang-undang dan konvensyen antarabangsa. Asas inilah yang digunakan dalam menilai tindak-tanduk Israel sejak 61 tahun yang lalu.



Meskipun PBB telah meluluskan Resolusi 181 yang membenarkan 55% wilayah Palestin diserahkan kepada pendatang Yahudi, namun perlaksanaan resolusi ini tidak pernah mewajarkan pendudukan Israel ke atas 45% wilayah Palestin yang selebihnya iaitu Baitul Maqdis timur, Tebing barat dan Genting Gaza. Bahkan PBB telah meluluskan Resolusi 242 dan 338 supaya Israel berundur kembali ke garisan hijau yang dilakarkan oleh Rhodes Armistice pada tahun 1949. Ini bermakna Israel wajib keluar dari wilayah Palestin yang diduduki pada tahun 1967 dan tidak ada sebarang kewajaran sedikitpun untuk Israel menguasai wilayah tersebut. Juga PBB telah meluluskan Resolusi 194 pada tahun 1949 mengizinkan pelarian Palestin pulang. Apa yang berlaku kini ialah Israel bukan sahaja tidak akur kepada resolusi-resolusi utama ini (landmark resolutions) bahkan puluhan dan ratusan resolusi yang menegaskan kembali tentang hak rakyat Palestin, bahkan telah mencabul hak rakyat Palestin di wilayah yang diduduki pada tahun 1967 dengan mendirikan kawasan perumahan ekslusif untuk kaum yahudi di atas tanah rakyat Palestin, mengusir dan merampas tanah rakyat Palestin dan kini membina tembok pemisah dari utara ke selatan Tebing Barat dalam wilayah Palestin.



Kini setelah Hamas muncul sebagai juara memperjuangkan hak rakyat Palestin yang tertindas, regim zionis melaksanakan pula program mengepung Gaza dari semua arah dan menukarnya menjadi penjara terbesar di dunia.



Dalam memperingati Nakbah pd bulan Mei 2010 ini, adalah amat penting bagi seluruh masyarakat antarabangsa mendedahkan hakikat sebenar di Palestin, supaya regim zionis tidak boleh lagi berselindung dan mempertahankan tindakan biadapnya atas alasan mempertahan ‘hak’ dan ‘keselamatn’ Israel



Prof. Madya Dr Hafidzi Mohd Noor

Pengarah

PACE

Palestine Centre of Excellence

Friday, May 14, 2010

Blog Dalam Pembinaan

Salam
Dimaklumkan bahawa buat masa ini tiada update untuk blog ini. Pihak kami dalam proses mengumpul bahan untuk membina blog yang lebih baik. Kesulitan amat di kesali. Untuk pertanyaan pengunjung boleh hubungi kami di

aqsasyarif.kedah@yahoo.com

Terima Kasih

Aqsa Syarif Kedah

Sunday, May 9, 2010

Perutusan Pengerusi


Perutusan Pengerusi


Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakaatuh

Selepas memuji Allah S.W.T dam berselawat ke atas junjungan tercinta Mohammad S.A.W, doa kita untuk para sahabat dan syuhada’ di mana-mana sahaja sepanjang zaman, terutama para syuhada’ di bumi Palestin.

Masjid Aqsa adalah kiblat pertama kita. Transit Nabi S.A.W antara Mikraj ke langit, ketika Isra’ dari Masjidil Haram Mekah. Di situ baginda dijamu pilihan susu atau arak oleh Jibrail a.s. Baginda memilih susu tanda kembali kepada fitrah.

Di Masjidil Aqsa juga para Ambiya’ dihimpun di belakang baginda untuk bersolat sebagai makmum. Baginda berpeluang beramah mesra dan mendengar pengalaman mereka berdakwah dengan ummat masing-masing.

Kegemilangan sama ada dakwah, tarbiah dan pemerintahan para utusan Allah berlaku di sekitar Masjid ini. Kegemilangan Nabi Ibrahim, Nabi Sulaiman, Nabi Daud, Nabi Musa sebagai contoh khazanah yang dipetik dari sumber wahyu, Al-Quran.

Semuanya memberi kekuatan kepada Nabi S.A.W yang baru tiba dari Mekah dalam tiga kesedihan; kematian Abu Talib, wafatnya Khadijah dan kekejaman penduduk Taif dan Mekah terhadap baginda.

Barangkali di sini rahsia hadis yang menggalakkan kita bermusafir ke Masjidil Aqsa. Dengan bersusah payah bermusafir ke sana, nostalgia perjuangan Para Anbiya’ akan segar hidup dalam jiwa seorang mukmin.

Kini segala-galanya terhalang. Masjid itu sedang diruntuhkan. Penduduk di sekeliling Masjid itu sedang diganyang, dihalau dan dinafikan hak mereka. Anak-anak mereka kelaparan dan terbiar.

Aqsa SyarifAQSA SYARIF muncul di persada perjuangan ini. Kita tidak mampu ke Masjid itu. Tetapi jiwa kita di sana.

Namun sahabat dan saudara kita di sana bangkit membentengi Masjid itu dengan tubuh mereka. Satu persatu gugur syahid pada jalan Allah dan satu persatu diheret ke penjara, yang tidak mengenal pintu keluar. Terus diseksa oleh Regim Yahudi itu.

AQSA SYARIF muncul di persada perjuangan ini. Kita tidak mampu ke Masjid itu. Tetapi jiwa kita di sana. Ketika solat menghadap ke kiblat, Kaabah di Masjidil Haram, kita akan terbayang Masjidil Aqsa. Kembar ketiga Masjid itu.

Membayangkan Masjidil Haram Mekah mengingatkan kemanisan Iman dan kerinduan kepada Allah. Membayangkan Masjidil Haram Madinah mengingatkan kepada Sunnah Nabi dan kerinduan kepada baginda. Membayangkan Masjidil Aqsa mengingatkan Jihad yang menanti kita…

AQSA SYARIF bangkit dengan alternatif yang praktis. Kita kena menanggong kos kehidupan anak-anak yatim para syuhada’. Isteri dan keluarga yang menanti kepulangan suami mereka yang ditahan di penjara Israel itu.

Ayuh bersama AQSA SYARIF di awal penubuhannya ini. Anda menjadi “Assabiqunal Awwalun”. Golongan awal, perintis perjuangan Masjidil Aqsa dalam wajah barunya di Malaysia. Bersama dengan NGO-NGO perjuangan Palestin yang sedia ada.

Pahala orang-orang yang menyambung selepas ini, akan mengalir ke orang-orang terdahulu seperti anda. Walau bukan itu matlamatnya. Kembali ke fitrah kita. Keredhaan Ilahi mengatasi segalanya.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Waliilahi Al Hamd

USTAZ HASANUDDIN MOHD YUNUS
CHAIRMAN
AQSA SYARIF BERHAD
Tel: +60387372772
Tel HP: 013-7444428

E.mail: admin@aqsasyarif.com


http://aqsasyarif.com/aqsa/perutusan-pengerusi/

Bantuan RM1.1 juta ke Gaza




Ismail Hasim
SHAH ALAM, 9 Mei: Sebanyak RM1.1 juta sumbangan rakyat Malaysia kepada warga Palestin berjaya dikumpul oleh Konvoi Lifeline4Gaza (LL4G) yang bakal diserahkan kepada mangsa kekejaman Zionis Antarabangsa itu pertengahan Mei ini.

Jumlah tersebut diumumkan di dalam Perhimpunan Perdana Palestin yang diadakan Stadium Malawati, dekat sini malam tadi dengan kehadiran luar biasa memenuhi ruang dewan dengan acara memberangsangkan.

Majlis malam tadi bermula dengan solat hajat, ucapan-ucapan dari wakil-wakil NGO termasuk Timbalan Presiden Muslim Care, Zulkifli Mohd Nani dan selingan nasyid persembahan dari Muadz, Raihan dan Shoutul Harokah dari seberang.

Turut berucap adalah Wakil Pimpinan Palestin di Gaza, Syeikh Ziyad Al-Qishawi yang juga Koordinator Bantuan Antarabangsa Ikatan Ulama Palestin dan Naib Presiden Foundation For Human Right & Freedom Relief (IHH) dari Turki, Mr Hussain Oruc.

Mereka berdua menyampaikan salam perjuangan dan terima kasih tidak terhingga dari rakyat Palestin kerana sanggup memberikan sumbangan dan doa di atas mala petaka yang dikenakan ke atas mereka selama ini.

Untuk rekod, krisis kemanusiaan selama ini di Palestin membangkit rasa kebersamaan kepada rakyat dan NGO prihatin negara ini yang menggerakkan konvoi Lifeline4Gaza – Break The Siege ataupun Talian Hayat Untuk Gaza – Menerobos Tembok Kematian.

Mereka disertai oleh Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Malaysia (HALUAN), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jemaah Islah Malaysia (JIM), Yayasan Amal, Palestinian Center of Excellence (PACE), Aqsa Syarif, Dewan Pemuda Masjid Malaysia (Dewan Pemuda), Pertubuhan Mawaddah Malaysia dan Viva Palestina Malaysia (VPM).

Bagi menjayakan misi menghantar bantuan ke Gaza ini, mereka akan menyertai usaha konvoi antarabangsa yang diketuai oleh sebuah NGO dari Negara Turki iaitu Foundation for Human Rights & Freedoms & Humanitarian Relief (Insan Hak ve Hurriyetleri – atau lebih dikenali sebagai I.H.H.) bersama-sama NGO-NGO antarabangsa yang lain seperti Free Gaza Movement dan European Campaign to End the Siege on Gaza (ECESG).

Kini, IHH dengan sokongan penuh kerajaan Turki dan NGO-NGO antarabangsa dari lebih 17 buah negara lain telah memulakan usaha untuk melaksanakan konvoi talian hayat Gaza yang ke-empat iaitu Lifeline4Gaza. Satu usaha besar-besaran iaitu satu konvoi yang akan merentasi Laut Mediterranean bermula dari Istanbul, Cyprus dan akhirnya terus ke Gaza mengikut jalan laut. Konvoi ini akan membawa lebih daripada 20 buah kapal dan bot.

Kempen ini diketuai oleh Perdana Menteri Turki sendiri, Recep Tayyip Erdogan. Konvoi kemanusiaan terbesar di dunia ini akan membawa bantuan asas keperluan seperti bahan pembinaan hospital, bahan perubatan, peralatan sekolah dan bahan-bahan makanan. Mereka juga akan diiringi oleh tokoh-tokoh politik dan kemanusiaan sedunia yang prihatin terhadap krisis kemanusiaan di Gaza.

Bantuan tersebut akan dibawa terus ke Gaza dengan menggunakan hubungan diplomatik kerajaan Turki yang memang mempunyai Perjanjian Keselamatan dengan rejim Israel semenjak peperangan dunia yang ke-dua lagi. Mengikut butiran perjanjian tersebut, Israel tidak boleh mengganggu kapal-kapal daripada Turki.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=26474:bantuan-rm11-juta-ke-gaza-&catid=1:utama&Itemid=50

Perutusan Pengerusi Edisi Mei

Tiada yang layak mendapat setinggi pujian melainkan Allah S.W.T. Kasih dan sayang kita kepada Allah menyebabkan kita memilih untuk mengikut syariat Nabi Mohammad S.A.W. Lantaran itu kita sentiasa mendoakan baginda, ahli keluarga baginda, sahabat baginda dan pengikut baginda sehingga hari kiamat.

Kezaliman Yahudi masih berterusan. Mereka melepaskan gas beracun ke terowong-terowong penyelamat, satu tindakan yang langsung tidak boleh diterima akal yang waras. Apakah mereka menganggap saudara-saudara kita bagaikan tikus atau lipas yang layak untuk diperlakukan dengan sebegitu hina?

Namun bila merenung ayat yang saya percaya ramai yang telah menghafaznya, kita menerima hakikat semula jadi Yahudi. Allah telah menghukum mereka sedemikian rupa.

“Dan Kami menyatakan kepada Bani Israel dalam Kitan itu: “Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali, dan Sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh Dengan melampau” ( ayat 4 surah al-Isra’)

Percayalah kezaliman yang mereka lakukan tidak berhenti setakat itu sahaja. Mereka akan bertindak lebih biadap apabila mereka semakin terdesak.

Allah telah mengatur percaturan hidup dengan penuh hikmah dan sebegitu seni. Surah al-Mulk yang menjadi wirid kita setiap malam, mengingatkan kehidupan ini bagaikan pentas ujian, siapakah yang paling elok amalannya di dunia ini.

“Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu. Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang Yang bertaubat)” (ayat 2 surah al-Mulk)

Rupa-rupanya kita dan saudara kita masyarakat Palestin sama-sama sedang diuji. Mereka diuji dengan kepayahan berhadapan dengan Yahudi. Kita pula diuji, sama ada untuk membantu atau memerhatikan sahaja, Atau lebih buruk untuk tidak mengambil tahu atau mengambi peduli.

Bayangkan suasana di Gaza yang sedang terkepung itu. Pada bila-bila masa boleh berlaku serangan dan letupan bom atau peluru berpandu. Di samping itu mereka juga terdedah kepada senjata pemusnah besar-besaran dan senjata yang diharamkan termasuk fosforus putih yang amat mengazabkan bagi mangsa-mangsanya.

Bayangkan apa yang tergambar dalam fikiran seorang kanak-kanak Palestin tentang masa depan mereka. Bandingkan pula dengan seorang kanak-kanak Malaysia yang gagal atau kecundang bukan kerana kepayahan hidup, tetapi kerana letih akibat kekenyangan.

Kedua-duanya masyarakat Malaysia mahupun masyarakat Palestin sedang diuji. Ketika saya ke perkhemahan Palestin samada di Jordan atau di Lubnan, saya melihat bangunan yang sempit dan berselirat dengan saluran air dan eletrik yang amat membahayakan keselamatan penghuni-penghuninya.

Saya, isteri dan sahabat-sahabat dari Yaman yang berada di sana sesak nafas kerana kekurangan oksigen. Bayangkan hampir 60 tahun mereka hidup dan anak-anak mereka dibesarkan dalam suasana begitu.

Di perkhemahan Palestin, selepasa mereka hidup penuh sengsara semata-mata untuk ‘survive’ dan membesarkan anak-anak sehingga tamat pengajian di mana-mana university di dalam atau di luar Lubnan, ketahuilah mereka kemudiannya menghadapi pula larangan untuk menjawat 70 jenis pekerjaan di Lubnan.

Atas alasan kepentingan rakyat Lubnan, kerajaan Lubnan melarang warga Palestin untuk bekerja sebagai, doktor, jurutera, peguam dan 63 pekerjaan lainnya. Mereka tidak boleh memiliki tanah dan bangunan, tidak boleh memiliki syarikat perniagaan. Mereka tidak dibenarkan berkahwin dengan penduduk setempat. Kalau curi-curi berkahwin juga, anak-anak mereka tidak berhak untuk mewarisi harta peninggalan.

Namun bangsa yang diuji Allah ini tahan lasak. Bila bertemu dan ditanyakan mereka dari mana? Mereka dengan penuh rasa kemuliaan mengatakan “saya warga paletin” yang tinggal samada di Lubnan atau Jordan atau Syria.

Saya tidak berhasrat untuk mengulas kejahatan Yahudi, kerana itulah sifat dan perangai semulajadi mereka seperti yang ditegaskan oleh al-Quran. AQSA SYARIF lebih berminat untuk membentang agenda amal kepada warga Malaysia supaya mereka melepasi ujian membantu saudara mereka dari warga Palestin.

Harta dan rezeki atau gaji yang Allah berikan setiap bulan kepada kita, sebenarnya ada hak mereka didalamnya. AQSA SYARIF membuka peluang untuk membantu anak-anak yatim dan keluarga miskin dari kalangan warga Palestin. Hari ini AQSA SYARIF mencapai sasaran 100 penajaan anak-anak yatim dari Palestin. Tahniah kepada warga Malaysia yang pemurah. Ini memberikan dorongan kepada AQSA SYARIF untuk terus membuka ruang amal bagi menetapkan sasaran berikutnya iaitu 200 anak yatim lagi.

Teruskan kempen kepada sesiapa sahaja yang anda temui untuk membantu anak-anak yatim yang merupakan masa depan bumi Palestin, Mereka hilang tempat pergantungan , hilang ayah untuk menjalani kehidupan penuh pancaroba di bawah penindasan dan kezaliman Yahudi Zionis..

Perancangan seterusnya ialah AQSA SYARIF sedang membuka projek menampung keluarga miskin di Palestin. Keluarga miskin ini ditinggalkan oleh suami atau ayah yang direnggut dari keluarga mereka oleh regim Zionis Israel dan dipenjarakan sehingga bertahun-tahun lamanya. Bahkan ada yang dijatuhkan hukuman penjara sehingga ratusan tahun.

Akibatnya keluarga mereka terbiar tanpa pembelaan. Tanpa bantuan dan sokongan rakyat Malaysia, perjuangan mempertahankan Masjidil Aqsa dan bumi Palestin yang diterajui oleh rakyat Palestin yang kini menderita akan terjejas. Oleh kerana itu seruan untuk membantu anak yatim dan keluarga miskin ini adalah seruan jihad yang tidak boleh diabaikan oleh umat Islam yang sedar tanggungjawab mereka untuk membela Masjid al-Aqsa dan membebaskan bumi suci Baitul Maqdis.

Aqsa Syarif membuka peluang ini kepada semua dengan sumbangan serendah USD10 untuk sekurang-kurangnya sebulan, untuk satu unit sesaham sumbangan bagi memenuhi satu lot sumbangan buat keluarga miskin yang memerlukan dari USD500 sehingga USD800 bagi menjalani kehidupan yang serba sederhana. Jumlah sebanyak hanya USD10 sebulan adalah amat rendah. Dengan cara berpakat dan berkongsi menaja sebuah keluarga miskin kita boleh menebus ketidakhdiran kita di sana untuk membantu mereka.

AQSA SYARIF membuka peluang ini kepada anda. Hebahkanlah kepada semua demi Masjidil Aqsa dan demi saudara kita di Palestin. AQSA SYARIF berpegang teguh dengan prinsipnya “satu ringgit yang disumbangkankan satu ringgit akan sampai ke Palestin”

Wassalam

Ust. Hasanuddin Mohd Yunus

Pengerusi

Aqsa Syarif Berhad


http://aqsasyarif.com/featured/perutusan-pengerusi-aqsa-syarif-bulan-mei/